Wednesday, May 13, 2009

PUNCA STRESS

Punca Stres





Assalamualaikum kepada rakan-rakan pembaca semua…

Hari ini mental saya berada dalam keadaan stabil almaklumlah baru je menghabiskan sesi pertama ” Kursus Pengurusan Masa dan Stress di Hotel Kings, Ayer Keroh, Melaka selama 3 hari. Dapatlah merehatkan minda sambil mendapat pengetahuan baru bagi diaplikasikan dalam kehidupan seharian..

Nampaknya saya memasuki kelas tersebut dalam keadaan sedikit kelam kabut.. Datang lambat dan terpaksa duduk di hadapan sekali. Berdepan dengan penceramah dari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia. Tajuk pertama ialah ” Pengurusan Stress Membina Insan Cemerlang” . Sudah pastinya tajuk ini amat menarik minat saya yang sentiasa menghadapi situasi stress ini..

Disebabkan tajuk ini amat menarik saya ingin berkongsi dengan anada semua, pembaca blog ligakampung yang dicintai.. He he he..(Ops sebab mungkin entri kali ini agak panjang dipersilakan klik untuk meneruskan pembacaan)Saya mulakan dengan satu kenyataan yang dipaparkan dalam slaid beliau :-

“One in four individuals suffer from a Diagnosable mental disorder once in their life “( Prof Azhar Md Zain, Malaysian Psychioatric Association)
Satu kenyataan yang mungkin amat mengejutkan.. Bayangkan bahawa terdapat risiko yang besar bagi kita untuk mengalami ketidakstabilan mental.. Ianya patut diambil berat bagi mengelakkan masalah mental menyebabkan produktiviti menurun dan mampu memberi impak yang besar kepada pembangunan negara.. Chewah cam wakil rakyat le pulak…

Memang banyak perkara berkaitan dengan stress yang dibincangkan dalam kursus tersebut tetapi untuk entri kali ini saya cuma akan berkongsi tentang punca-punca yang sering menyebabkan stress.. Antara punca-puncanya ialah :-

i ) Sifat Semulajadi

* terlalu sensitif –> mereka yang terlalu sensitif akan mudah terasa kepada sesuatu perkara.. Ianya akan menimbulkan tekanan kepada individu terbabit.. Kesensitifan mereka mampu membuatkan mereka bertindak di luar dugaan.

* bercita-cita tinggi –> Cita-cita terlalu menggunung dan sukar untuk dicapai..Cth, ingin jadi jutawan internet dalam tempoh 1 bulan.. Bukankah ianya sesuatu yang gila dan akan menyebabkan tekanan menggila jika ianya tidak mampu dicapai.. Apatah lagi jika cita-citanya dicanang ke seluruh alam maya percintaan.. Eh tersasul lagi..

* terlalu teliti ( cerewet) –> terlalu teliti kadangkala menyebabkan kesukaran untuk keputusan dibuat.. Terpaksa memikirkan macam-macam perkara sebelum keputusan dibuat dan sudah pasti tekanan dirasai untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti..

* pendesak –> orang seperti ini lebih kepada menimbulkan tekanan kepada orang lain namun kadangkala desakan yang berpanjangan akan menyebabkan tekanan kepada diri lebih-lebih lagi desakan tidak berhasil.

* perisau –> orang yang terlalu risau sudah pastinya tekanan akan wujud dalam minda.. Risau tentang sesuatu yang buruk menyebabkan kesukaran untuk berfikir dan tekanan makin bertambah dalam tubuh badan.

* kaki gaduh –> memang akan timbulnya tekanan kerana kaki gaduh ini terpaksa memikirkan strategi dan persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan oleh pihak musuh…

* buruk sangka –> ini banyak berlaku terutamanya dalam komuniti yang besar.. Memang orang yang buruk sangka akan menimbulkan konflik sesama sendiri dan seterusnya tekanan antara mereka akan bertambah..

* terlalu serius –> keseriusan seseorang itu akan menimbulkan tekanan yang mendalam …

ii) Tempat kerja

* selalu tukar tempat kerja –> jika selalu tukar ke sana ke mari sudah pastilah tekanan bertambah,.. Setiap kali ke tempat kerja baru proses pembelajaran baru bermula.. Pastinya pening kepala ek..

* selalu tukar sistem –> Ini lebih kurang dengan cerita di atas.. Kadangkala perubahan ‘kepala’ menyebabkan sesuatu organisasi akan dirombak .. Cerita lama dibuang dan cerita baru bermula.. Orang lama pastinya kusut kepala untuk mengikut sistem baru..


* hubungan dengan orang –> hm yang ini biasalah.. Kalau hubungan dengan orang di sekeliling tidak rapat dan berasa curiga sudah pastinya bantuan kurang dan tekanan bertambah.

* beban kerja berat —> kerja banyak memanglah akan menambahkan lagi beban di dalam otak..

* banyak dateline –> lebih kuran di atas..

* bosan –> perkataan bosan sering berlaku jika kerja yang dilakukan tidak mampu menarik minat.. Dan kebosanan terhadap proses kerja yang tidak berubah juga sebagai faktor utama tekanan di tempat kerja.
iii) Hubungan Kemanusiaan

* tempat kerja –> kadangkala kita terpaksa berhadapan dengan politik di tempat kerja.. Hipokrasi, kipas mengipas yang berlaku di tempat kerja memang memberi tekanan.. Sakit kan ..

* rumah –> masalah di rumah dengan keluarga merupakan masalah yang amat meruncing masa kini.. Tekanan kadang-kadang dilepaskan pada tempat yang tidak sepatutnya.. Sebab itu berlaku kes pembunuhan dan penderaan terhadap keluarga.. Masyaallah.. Harap dijauhkan..

* konflik –> Ini berlaku di mana-mana sahaja samada di tempat kerja, rumah, kejiranan, organisasi dan sebagainya.. Tanpa ditangani dengan baik ianya menimbulkan tekanan yang cukup hebat di antara satu sama lain.
iv) Punca Dalaman

* hati kotor –> ianya bukan bermakna hati anda telah dipenuhi sampah sarap atau bahan-bahan buangan namun lebih kepada hati.. Sejauh mana kita tidak berburuk sangka, tiada phd dan berbagai perkara negatif yang bersarang dalam hati.. Macam mana nak bersihkan?? Sentiasa ingat padaNya..

* Engkar Perintah Tuhan –> Sudah pastinya engkar perintah Tuhan akan menyebabkan jiwa kita hilang.. Tekanan tidak dapat dikawal dan menghilangkan tekanan dengan melakukan perkara dilarang..

* Percaya pada karut –> Ianya sudah pasti berlaku ..Akibat percaya pada sesuatu yang karut tidak melakukan perkara yang boleh memberikan kebaikan kepada kita.. Ini perlu dielakkan kerana ianya boleh menghilangkan ‘roh’ kejayaan dalam diri..
Kalau diperhatikan tentang punca-punca berlakunya stress memang banyak perkara yang berkait rapat.. Saya sendiri bersetuju dengan punca-punca tersebut kerana ada beberapa punca yang dinyatakan wujud dalam diri..Ini sedikit sebanyak meningkatkan lagi tahap stress.. Penemuan punca ini menarik untuk diperhatikan.. Adakah ada punca-punca di atas yang menyebabkan anda mengalami stress atau mungkin ada yang tertinggal..Mungkin anda boleh kongsikan bersama bagi kita mencari punca utama berlakunya stress..
p/s :- Insyaallah saya akan berkongsi lagi ilmu berkenaan stress seperti yang dipelajari dalam kursus ini. Dan diharapkan saya mampu mengubah diri saya dan
dapat menangani stress dengan lebih berhemah.. AMIN..

- PENYAKIT GOUT -



Penyakit Gout



PENAFIAN: Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor mengenai kesihatan anda.Bahan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan kepada anda. Sekiranya anda menyedari simptom kesihatan atau jatuh sakit, anda perlu menghubungi doktor bagi rawatan lanjut.

Penyakit Gout ialah salah satu bentuk artritis yang diakibatkan oleh pengumpulan hablur-hablur asid urik pada sendi-sendi. Penyakit ini terlalu menyakitkan dan dalam kebanyakan kes, hanya menjejaskan satu sendi (monoartritis), khususnya ibu jari kaki. Istilah "gout" berasal daripada perkataan bahasa Latin, "gutta" yang bermakna 'setitis', disebabkan kepercayaan ketika itu bahawa gout diakibatkan oleh titis humor-humor yang mengerikan dan yang mungkin berkait dengan ketul-ketul mendapan urat.

Isi kandungan




Ciri wajib

Pesakit-pesakit yang menghidap gout mengalami peningkatan aras asid urik atau masalah penyingkiran asid urik, atau gabungan kedua-duanya sekali. Sila lihat: Metabolisme asid urik
Aras asid urik yang tinggi dikaitkan dengan usia, obesiti, Hiperlipidemia Jenis IV, kencing manis, penyakit jantung iskemia, dan darah tinggi. Kadang kala, gout merupakan penyakit keturunan.


Tanda dan gejala

Gout, kartun oleh James Gillray (1799). Penggambaran yang amat jelas mengenai bengkak dan sakit keterlaluan yang merupakan gejala-gejala penyakit ini.
Gambaran klasik tentang gout ialah sakit yang melampau serta mengejut, bengkak, kemerahan, dan kehangatan, serta kekakuan pada sendi. Pesakit mungkin juga mengalami demam gred rendah, dan biasanya menghadapi dua sumber kesakitan. Hablur-hablur dalam sendi mengakibatkan sakit keterlaluan ketika kawasan yang terjejas digerak. Keradangan tisu-tisu di sekeliling sendi juga mengakibatkan kulit menjadi bengkak dan sakit, walaupun hanya disentuh dengan lembut; umpamanya, meletakkan selimut pada kawasan yang terjejas.
Gout biasanya menyerang ibu jari kaki (lebih kurang 75% daripada semua serangan pertama). Bagaimanapun, penyakit itu juga boleh menjejaskan sendi-sendi yang lain, seperti mata kaki, tumit, kekura kaki, lutut, pergelangan tangan, siku, jari, dan tulang belakang. Dalam sesetengah kes, gout boleh terjadi pada sendi jari-jari kaki yang tidak dapat bergerak, disebabkan kecederaan dahulu yang mengakibatkan peredaran darah yang buruk.
Pesakit-pesakit dengan hiperurisemia (sila lihat di bawah) boleh mempunyai mendapan-mendapan hablur asid urik yang dipanggil tofus dalam tisu-tisu yang lain, umpamanya heliks telinga. Dalam sebilangan kes, karang-karang asid urik boleh membentuk sejenis karang ginjal.
  • Diagnosis

    Ghout pada sendi jari kaki.
    Diagnosis biasa dilaksanakan melalui dasar klinikal, walaupun ujian-ujian diperlukan untuk mengesahkan penyakit.
    Hiperurisemia merupakan ciri yang biasa; bagaimanapun, aras urat tidak selalunya tinggi (Sturrock 2000). Hiperurisemia ditakrifkan sebagai kandungan plasma urat (asid urik) yang melebihi 420 μmol/L (7.0 mg/dL) untuk lelaki, dan sekitar 380 μmol/L bagi perempuan. Selain itu, aras urat juga akan jatuh ke dalam julat normal bagi dua pertiga daripada semua kes (Siva et al 2003). Jika gout dicurigai, urat serum harus diulangi sebaik sahaja serangan telah reda. Ujian-ujian darah yang lain yang biasa dilakukan termasuk kiraan darah lengkap, elektrolit, fungsi renal, dan kadar pemendapan eritrosit (ESR). Kesemua ini bertindak untuk menidakkan sebab-sebab yang lain, khususnya artrisis sepsis.
    Diagnosis muktamad bagi gout ialah melalui mikroskopi cahaya bagi bendalir sendi yang disedut dari sendi (ujian ini mungkin susah untuk dilaksanakan) untuk menunjukkan hablur-hablur urat monosodium intrasel di dalam leukosit polimorfonukleus bendalir sinovia. Hablur urat dikenal pasti melalui dwirefringens di bawah mikroskopi terkutub, serta morfologi bak jarumnya. Seseorang pemerhati yang terlatih boleh membezakannya daripada hablur-hablur yang lain.
Peringkat gout

Gout mempunyai empat peringkat yang nyata:

  • asimptomatik
  • akut
  • interkritikal
  • kronik.

Dalam peringkat pertama (asimptomatik), aras asid urik plasma bertambah, tetapi tanpa sebarang gejala. Serangan gout pertama menandakan peringkat kedua (akut). Serangan-serangan yang tidak teruk biasanya hilang dengan cepat, manakala serangan-serangan yang teruk berlangsung selama beberapa hari atau juga beberapa minggu. Selepas serangan pertama, pesakit itu masuk peringkat interkritikal atau jarak waktu yang bebas daripada gejala. Tempoh ini mungkin berlangsung selama beberapa bulan atau juga tahun. Kebanyakan pesakit gout mengalami serangan kedua dalam enam bulan hingga dua tahun dari serangan pertama.
Pada peringkat terakhir (kronik), serangan-serang gout menjadi lebih kerap serta poliartikular, iaitu serangan itu membabitkan banyak sendi pada setiap masa. Tofus-tofus besar juga boleh didapati di dalam banyak sendi. Dalam kes-kes gout kronik yang sudah teruk, kerosakan ginjal, hipertensi, dan karang ginjal boleh juga terjadi.


Rawatan

Serangan
Rawatan peringkat pertama untuk serangan akut harus merupakan melegakan kesakitan. Sebaik sahaja diagnosis disahkan, drug-drug pilihan ialah indometasin dan drug-drug anti keradangan bukan steriod (NSAID) yang lain, atau glukokortikoid intraartikular yang diberikan melalui suntikan sendi.

Pada suatu ketika, kolkisin adalah drug pilihan untuk serangan-serangan gout yang akut. Drug ini mengurangkan keupayaan granulosit untuk bergerak dan boleh menghalang fenomena keradangan yang memulakan serangan gout. Kolkisin harus dimakan dalam tempoh 12 jam pertama dari permulaan serangan dan biasanya akan melegakan kesakitan dalam tempoh 48 jam. Kesan sampingan utamanya ialah gangguan gastrousus. NSAID kini merupakan bentuk analgesia yang diutamakan untuk pesakit-pesakit gout.

Sebelum bantuan perubatan dapat diperoleh, sesetengah ubat yang dijual di kedai farmasi boleh memberikan kelegaan sementara untuk kesakitan dan bengkak. NSAID seperti ibuprofen boleh mengurangkan sedikit kesakitan dan keradangan, tetapi aspirin harus tidak digunakan kerana drug ini boleh memburukkan lagi keadaan itu. Salap buasir sediaan H boleh digunakan untuk mengurangkan bengkak secara sementara. Untuk jangka panjang, rawatan perubatan profesional diperlukan.

Pencegahan
Rawatan jangka panjang (untuk serangan-serangan yang kerap) ialah terapi antihiperurisemia. Perubahan diet boleh mengurangkan aras urat plasma jika diet itu tidak banyak mengandungi purina kerana badan akan memetabolismekannya menjadi asid urik. Diet yang disyorkan ialah makanan-makanan peneutral purina, seperti buah-buahan segar (khususnya buah ceri, dan strawberi) dan kebanyakan sayur-sayuran segar, jus saderi tercair, air suling, serta vitamin B-kompleks dan vitamin C. Alkohol serta makanan purina tinggi, seperti daging, ikan, kacang (termasuk lentil, dan kacang pea), cendawan, daun bayam, pucuk asparagus, dan kubis bunga, harus dielakkan.

Salah satu ubat semula jadi yang kuat ialah ekstrak buah beri yang terdiri daripada bilberi, beri biru atau ceri. Bahan-bahan antosianida yang memberikan warna biru dan unggu kepada beri-beri tersebut menjadi bahan anti radang selepas memasuki badan. Ini mungkin merupakan pilihan yang lebih baik untuk pesakit-pesakit transplan yang sering menghidap gout, disebabkan pertambahan ketoksikan dan bebanan pada ginjal yang diakibatkan oleh ubat penindas keimunan.

Bagaimanapun, bahan utama untuk pendekatan ini ialah drug alopurinol yang merupakan satu perencat oksidase xantina yang mengurangkan penghasilan asik urik secara langsung. Walaupun demikian, rawatan alopurinol harus tidak dimulakan semasa serangan gout kerana ubat ini boleh memburukkan lagi serangan tersebut. Tetapi seorang pesakit yang telah menerima rawatan alopurinol sebelum serangan harus meneruskannya.
Keputusan untuk menggunakan alopurinol sering merupakan keputusan sepanjang hayat. Penyakit gout diketahui kambuh menjadi gout artritis akut apabila pesakit-pesakit berhenti pengambilan alopurinol kerana perubahan aras urat serum yang pada dirinya kelihatan mengakibatkan pemendakan hablur.

Febuksostat, satu perencat bukan purina yang baru untuk oxidase xantina, kelihatan merupakan alternatif yang lebih baik berbanding dengan alopurinol. [1] Probenesid, satu drug urikosurik yang menggalakkan pengumuhan asid urik ke dalam kencing, juga biasa dipreskripsikan — seringnya bersama-sama dengan kolkisin. Suatu perkara yang menarik adalah bahawa drug fenofibrat yang digunakan untuk merawat hiperlipidemia juga memberi kesan urikosurik yang berfaedah (Bardin 2003). Sebaliknya, alopurinol dan agen-agen urikosurik tidak sesuai untuk pesakit-pesakit karang ginjal dan keadaan-keadaan renal yang lain.

Oleh sebab hipertensi arteri (darah tinggi) sering wujud seiring dengan gout, rawatan dengan losartan (suatu antagonis reseptor angiotensin) mungkin akan memberi kesan tambahan yang berfaedah terhadap aras-aras plasma asid urik. Dengan ini, losartan boleh mengimbangi kesan sampingan tiazida (satu kumpulan diuretik yang digunakan untuk darah tinggi) yang negatif terhadap metabolisme asid urik bagi pesakit-pesakit gout. Telah dicurigai bahawa dalam banyak kes, gout mungkin merupakan suatu penyakit sekunder kepada apnea tidur yang tidak dirawat, ketika sel-sel yang tidak menerima oksigen yang mencukupi menghasilkan purina-purina sebagai keluaran sampingan. Dalam kes tersebut, rawatan untuk apnea boleh mengurangkan kejadian serangan gout akut.

Sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 2004 menunjukkan bahawa sumber-sumber purina daripada daging haiwan, seperti daging lembu dan makanan laut, amat meningkat risiko hidapan gout. Bagaimanapun, sumber-sumber purina daripada sayur-sayuran tidak mengakibatkannya. Keluaran-keluaran tenusu lemak rendah seperti susu skim (susu tanpa lemak) juga amat mengurangkan kemungkinan menghidap gout. Kajian ini telah mengikut melebihi 40 ribu orang lelaki selama bertahun-tahun, dengan 1,300 kes gout daripada kumpulan ini dilaporkan. (Choi 2004)
Pembedahan

Untuk kes-kes gout yang keterlaluan, pembedahan mungkin diperlukan untuk menghapuskan tofus yang besar serta untuk membetulkan kecacatan sendi.
Rawatan Tradisional

1.)Rebus kulit kentang dengan air untuk menjadikannya ekstrak kulit kentang. Minum air rebusan itu @ ekstrak kulit kentang. 2.)Ambil anak pokok durian beserta akarnya sekali. Kemudian rebuskannya (buat sup) bersama dengan kaki ayam (bukan ayam kampung). Sup itu diminum dan kaki ayam itu dimakan. Cara tradisional ini adalah antara cara yang paling berkesan dalam merawat penyakit gout.

Cadangan untuk melegakan kesakitan
Peredaran darah di sekitar sendi yang tidak dapat bergerak boleh diperbaiki melalui mandi air suam. Perbuatan ini melegakan bengkak dan mengurangkan penghabluran asid urik. Pastikanlah bahawa kawasan itu kering sebelum mengenakan pakaian. Pendekatan yang akal untuk merawat bengkak dan keradangan biasa adalah untuk menggunakan pek ais. Bagaimanapun, oleh sebab penghabluran asid urik dipercepat oleh suhu rendah, penggunaan pek ais hanya akan memburukkan keadaan ini. Oleh itu, seseorang harus membuat sebaliknya dan merawat gout dengan kehangatan.
Pemerhatian lain

Kulit mungkin akan gugur, disebabkan bengkak yang berpanjangan di sekitar sendi terjejas. Ini paling ketara ketika jari-jari kaki terlibat dan mungkin akan mengakibatkan jangkitan kulat di kawasan antara jari-jari kaki jika kawasan-kawasan itu lembap. Rawatlah keadaan ini dengan cara yang sama sahaja dengan kutu air.

Sejarah
Secara tradisi, gout dianggap sebagai satu penyakit yang dihidap hanya oleh mereka yang merosot akhlak serta malas, disebabkan makanan-makanan yang mengakibatkannya hanya dapat banyak dimakan oleh mereka yang kaya. Mangsa sterotaip ialah seorang lelaki pertengahan umur yang sangat gemuk serta malas dan yang makan dan minum terlalu banyak makanan berlemak serta alkohol, dengan wain port sering disebut sebagai sebab yang khusus.
Mungkin diakibatkan oleh perhubungan tradisi antara kekayaan dan kenal huruf, gout merupakan salah satu penyakit yang paling biasa dilaporkan dalam sejarah.

Galen, pakar bedah gladiator Rom, menghuraikan gout sebagai pelelehan empat humor badan pada jumlah yang tidak seimbang ke dalam sendi-sendi. Istilah bahasa Latin untuk titis (iaitu titis lelehan) ialah gutta — istilah "gout" berasal daripada perkataan ini.

Tokoh mashyur yang mengidap gout

Ennius, pemuisi Rom, menulis "numquam poetor nisi podager" — "Aku tak pernah menulis puisi kecuali menghidap gout." Beliau mempergunakan masa ketika duduk yang disebabkan oleh sakit artritis untuk mengarang puisi.

PEMAKANAN SEIMBANG


PEMAKANAN SEIMBANG







Pemakanan seimbang merupakan tabiat memilih makanan yang hendak dimakan dengan tujuan memperbaiki atau mengekalkan kesihatan. Makanan yang seimbang perlu mempunyai karbohidrat, protein, lemak, vitamin, garam galian, dan serat dalam kadar yang betul. Ini dapat diperolehi dari buah, sayuran, daging, ikan, susu, bijiran dan lain-lain.


Isi kandungan


1 Nutrien
1.1 Karbohidrat
1.2 Protein
1.3 Lemak
1.4 Galian
1.5 Vitamin
1.6 Serat
2 Rujukan


Nutrien

Karbohidrat

Karbohidrat menyediakan sumber tenaga yang utama yang diserap segera ke dalam sistem tubuh manusia. Karbohidrat menyumbangkan kira-kira 50% daripada pengambilan tenaga yang diperlukan oleh tubuh manusia. Karbohidrat terdiri daripada gula (gula, glukos, sirap, madu, laktos), kanji (tepung gandum, kanji, kentang, ubi kayu dan kanji tulin koko) dan beberapa selulosa, gam dan pektin. Karbohidrat banyak terdapat dalam bijiran seperti beras, gandum, dan sepertinya.


Protein

Protein mengandungi beberapa zat seperti asid amino. Protein kelas pertama kebanyakannya boleh diperolehi daripada binatang. Sementara protein sayuran pula mengandungi protein kelas kedua dan sedikit protein kelas pertama.

Lemak

Lemak menyediakan lebih dua kali ganda nilai kalori yang diperolehi daripada karbohidrat dan menjadi sumber utama lemak tubuh. Sebenarnya lemak penting kepada manusia kerana merupakan tenaga yang tersimpan di dalam tubuh yang diperlukan untuk menjalankan sebarang aktiviti. Secara purata, lemak membekalkan 355 daripada pengambilan tenaga. Lemak juga mengandungi vitamin larut lemak dan asid lemak yang penting kepada penyatuan selaput sel.

Galian

Zat
galian yang mengandungi kompaun bukan organik yang penting kepada pemakanan manusia. Ia berperanan dalam pembentukan struktur tulang dan unsur yang diperlukan dalam tisu organik dan cairan badan seperti hemoglobin darah. Zat mineral banyak terdapat dalam susu dan telur. Ia juga banyak terdapat dalam buah dan sayuran.

Vitamin

Vitamin adalah bahan kimia yang terkandung dalam kebanyakan makanan. Ia membantu tubuh mengurai dan menggunakan unsur asas makanan, protein, karbohidrat dan lemak. Sesetengah vitamin turut terbabit dalam penghasilan sel darah, hormon, bahan genetik dan kimia dalam system saraf. Tidak seperti karbohidrat, protein dan lemak, vitamin dan mineral tidak membekalkan kalori tetapi membantu badan mendapatkan tenaga dari tubuh.

Serat


Serat atau serabut dalam diet permakanan membantu penghadaman dan mengelak sembelit. Sayuran dan buah segar (termasuk buah kering) dan bijiran merupakan sumber serat penting. Untuk meningkatkan kebaikan serat, amat penting untuk minum banyak air.